Terma Rakan Tunas
Kemas kini: 6 Oktober 2026 (bayaran ke akaun bank).
1. Siapa kami
Program Rakan Tunas dikendalikan oleh Nuvia Ventures, perniagaan pemilikan tunggal berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (No. pendaftaran 202603080829 (IP0623152-W)), pemilik jenama Tunas Cerdik. Email: [email protected].
Dalam terma ini, "kami" ialah Nuvia Ventures, "anda" atau "Rakan" ialah peserta program, dan "keluarga" ialah ibu bapa atau penjaga yang mendaftar akaun Tunas Cerdik melalui link anda.
2. Penyertaan
- Program ini melalui jemputan sahaja. Anda perlu kod jemputan untuk mendaftar.
- Anda mesti berumur 18 tahun ke atas dan memberi maklumat yang benar: nama penuh, email, serta nama bank dan nombor akaun bank atas nama anda sendiri.
- Seorang hanya boleh ada satu akaun Rakan.
- Kami boleh menolak atau menutup mana-mana akaun Rakan mengikut §9.
- Menyertai program ini tidak menjadikan anda pekerja, ejen atau wakil kami. Anda tidak boleh membuat janji, perjanjian atau tawaran bagi pihak Tunas Cerdik.
3. Link dan kod anda
- Anda memilih kod sendiri (3–16 huruf atau nombor). Link anda berbentuk
tunascerdik.com/?ref=KODANDA. - Bila seseorang menekan link anda, kod disimpan dalam pelayar mereka selama 60 hari.
- Keluarga itu dikira sebagai keluarga anda jika mereka mendaftar akaun baharu dalam tempoh 60 hari tersebut, menggunakan pelayar yang sama.
- Jika mereka menekan link beberapa Rakan, link terakhir sebelum mendaftar yang dikira.
- Akaun yang sudah wujud sebelum menekan link anda tidak boleh dipindahkan kepada anda.
- Rekod sistem kami ialah rujukan muktamad bagi menentukan keluarga mana milik Rakan mana.
4. Komisen
- Anda mendapat 20% daripada setiap bayaran Premium yang dibuat oleh keluarga anda, berdasarkan jumlah yang mereka bayar.
- Komisen diberi untuk setiap bayaran, termasuk pas bulanan yang disambung dan pas tahunan yang diperbaharui, selagi keluarga itu terus membayar dan akaun Rakan anda masih aktif.
- Contoh: keluarga melanggan 1 subjek bulanan RM20, maka komisen anda RM4 bagi setiap bulan mereka membayar.
- Komisen tidak diberi untuk:
- bayaran yang dipulangkan (refund) atau dibatalkan;
- pembelian melalui akaun anda sendiri, atau akaun yang anda daftar untuk diri sendiri;
- akaun palsu, pesanan ujian, atau bayaran yang diperoleh dengan melanggar terma ini.
- Harga untuk keluarga anda sama seperti harga biasa. Tiada kod diskaun khas untuk Rakan.
5. Tempoh menunggu dan bayaran
- Setiap komisen berstatus Menunggu selama 14 hari selepas bayaran keluarga (kerana keluarga berhak kepada Jaminan 7 hari wang dikembalikan). Selepas itu, statusnya menjadi Boleh dibayar.
- Kami membayar semua komisen yang Boleh dibayar setiap 2 minggu, pada hari Isnin, melalui pindahan bank ke akaun yang anda daftarkan, dengan rujukan yang dipaparkan di halaman Rakan dan dalam emel. Tiada jumlah minimum.
- Jika anda memerlukan bayaran lebih awal, hubungi kami. Kami boleh memindahkan komisen yang sudah Boleh dibayar lebih awal. Komisen yang masih Menunggu tidak boleh dibayar awal.
- Pastikan bank dan nombor akaun anda betul. Kami tidak bertanggungjawab atas pemindahan ke akaun salah yang anda berikan.
- Anda bertanggungjawab mengisytiharkan pendapatan komisen anda sendiri kepada LHDN jika diperlukan.
6. Cara mempromosi
Anda mesti:
- Beritahu orang yang anda kongsi link bahawa anda mendapat komisen. Contoh: "Saya dapat komisen kalau anda langgan melalui link saya."
- Menggunakan ayat yang dibenarkan dan bahan daripada channel Telegram Rakan Tunas. Ceritakan pengalaman anda sendiri dengan jujur.
- Mematuhi polisi setiap platform yang anda gunakan (TikTok, Threads, Instagram, Facebook, WhatsApp, Telegram dan lain-lain).
Anda tidak boleh:
- Membuat tuntutan pendapatan, contohnya "boleh dapat RM200 sebulan", sama ada kepada keluarga atau kepada orang yang anda ajak menyertai.
- Menjanjikan hasil pembelajaran yang tidak dibenarkan, contohnya janji gred tertentu, "pasti lulus", atau "ujian masuk Tahun 1".
- Menunjukkan muka kanak-kanak dalam kandungan yang menggunakan bahan atau link kami. Tunjukkan tangan dan skrin sahaja.
- Menyebut nama pemilik Tunas Cerdik atau menanda akaun peribadinya. Sebut "Tunas Cerdik" sahaja.
- Spam: mesej beramai-ramai kepada orang yang tidak anda kenali, "komen X untuk link", atau pos jualan dalam kumpulan yang melarangnya.
- Menyamar sebagai akaun rasmi: menggunakan "Tunas Cerdik" sebagai nama akaun, halaman atau kumpulan, atau menggunakan logo atau maskot Si Tunas sebagai gambar profil.
- Menjual semula atau berkongsi akses, termasuk PLR, menjual akaun, atau berkongsi akaun Premium.
- Menawarkan diskaun, rebat, hadiah atau kod yang tidak ditawarkan oleh Tunas Cerdik.
7. Iklan berbayar
Anda boleh menjalankan iklan berbayar dengan kos anda sendiri, dengan syarat:
- iklan dijalankan atas nama akaun atau halaman anda sendiri;
- anda tidak membida kata kunci "Tunas Cerdik" (atau ejaan seumpamanya) dalam iklan carian, contohnya Google Ads atau carian TikTok;
- iklan mematuhi §6 dan polisi pengiklanan platform tersebut.
8. Perubahan pada program
- Kami boleh mengubah kadar komisen atau terma ini dengan notis 30 hari melalui email dan channel Telegram Rakan Tunas. Perubahan hanya terpakai kepada bayaran keluarga yang dibuat selepas tarikh berkuat kuasa.
- Komisen yang sudah anda peroleh sebelum perubahan tidak terjejas.
- Jika program ditamatkan, kami akan membayar semua komisen yang sudah diperoleh sehingga tarikh tamat, mengikut §5.
9. Berhenti dan penamatan
- Anda boleh berhenti pada bila-bila masa dengan memaklumkan kami. Komisen yang sudah diperoleh sehingga tarikh itu akan dibayar.
- Kami boleh menggantung atau menutup akaun Rakan anda jika anda melanggar terma ini. Dalam keadaan itu, komisen daripada aktiviti yang melanggar terma boleh dibatalkan, dan komisen akan datang terhenti.
- Kami juga boleh menutup akaun Rakan yang memberi maklumat palsu atau menipu.
10. Data peribadi
- Kami menyimpan nama, email, nama bank dan nombor akaun, kod anda dan rekod komisen untuk menjalankan program dan membuat bayaran.
- Anda hanya melihat bilangan klik, akaun dan bayaran, serta jumlah komisen anda. Anda tidak melihat nama atau email keluarga.
- Butiran lanjut dalam Notis Privasi.
11. Undang-undang
Terma ini tertakluk kepada undang-undang Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan, hubungi [email protected].
Halaman Rakan Tunas · Notis Privasi · Terma Penggunaan & Jualan